- September 11, 2023
- Posted by: admin
- Category: Info Terkini
Soalan (S): Pandangan mengenai situasi politik negara ketika ini yang dilihat makin berpecah?
Jawapan (J): Pertama, pertelagahan politik hari ini disebabkan perkembangan teknologi semasa yang membolehkan apa yang diperkatakan sesiapa pun dapat didengar dan diketahui semua. Melalui media sosial, kita dapat tahu segala kecaman, caci maki dan apa sahaja yang diperkatakan banyak pihak. Senario politik dahulu, ini tak berlaku kerana orang politik bercakap dalam lingkungan mereka sahaja, sama ada pada peringkat kepemimpinan atau akar umbi, kemudian tidak dipetik media dan seumpamanya.
Sekarang, ada pelbagai platform media sosial, kadangkala pemimpin cakap secara spontan, tapi apa yang terkeluar itulah yang terus sampai kepada semua. Semua ini berbalik kepada perkembangan teknologi itu sendiri. Bermakna medium untuk berpolitik makin meluas, menyebabkan politik yang saya panggil ‘politik jalanan’ menyampaikan apa sahaja dalam sekelip mata. Ini semakin buruk bila satu video, misalnya kempen seorang pemimpin itu mengutuk parti lain dikongsi dalam pelbagai medium sehingga timbul serangan balas berbentuk kecaman dan sebagainya.
S: Perkembangan politik makin tidak sihat, menyebabkan kecelaruan dan salah tafsir berpanjangan?
J: Bila kita kata politik sekarang makin teruk, tak ada adab dan melanggar tatasusila politik, inilah penangan perkembangan medium penyampaian politik itu. Jadi boleh dikatakan perkembangan medium politik hari ini menyebabkan timbul kecelaruan ini. Daripada kecelaruan ini, timbul pula rasa tak puas hati, sangsi, rasa dikhianati, takut. Misalnya, orang Melayu atau Cina saling bercakaran kerana bimbang mengenai hak mereka, timbul juga ketidakpercayaan kepada pemimpin.
Melalui pelbagai media baharu inilah timbulnya rasa tidak tenteram, menyebabkan bukan sahaja rakyat, tetapi pemimpin juga berasa terancam kerana timbul pelbagai tohmahan, cerita yang kadangkala kita sendiri tak pasti betul atau tidak. Ia jugalah menyebabkan timbul isu 3R kerana masing-masing hilang keyakinan daripada peringkat institusi tertinggi, pemimpin sehingga rakyat itu sendiri.
S: Pandangan Datuk terhadap syor memohon Raja Melayu memayungi proses damai, cadangan dimeterai memorandum persefahaman membabitkan semua parti politik?
J: Saya amat bersetuju dengan cadangan ini, malah ia selari dengan tujuan MDN ditubuhkan, untuk menyebarkan Islam dan membawa perpaduan ummah demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan negara. Marilah duduk semeja, saya berpandangan sama dengan Sidang Pengarang NSTP supaya kata sepakat dicari melalui memorandum persefahaman berdasarkan Perlembagaan.
Jangan buat perjanjian baharu, lihat semula Perlembagaan untuk menterjemahkan Malaysia sebagai sebuah negara. Semua parti duduk bersama dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai pengerusi, lihat semula adakah Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara dipatuhi. Lihat juga semua perkara diperuntukkan dalam Perlembagaan, misalnya Perkara 3 mengenai Islam sebagai agama Persekutuan, adakah ditegakkan?
Maka, hormatilah apa yang sudah termaktub Perlembagaan dan usah bising di luar dengan menyebut Malaysia sebagai negara sekular. Saya juga tak bersetuju bila ada parti melabelkan parti lain sebagai ekstremis agama, ini sangat tidak sihat. Hanya kerana agenda politik, muncul dakwaan sedemikian. Apa yang penting, semua perkara tertakluk dalam Perlembagaan seperti hak orang Melayu, Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak disentuh.
S: Apa akibat jika parti politik terus bertelagah, isu agama dan negara bangsa terus dijadikan bahan pertikaian?
J: Ini bukan perkara yang boleh dibuat main. Jika ada pihak atau kaum rasa terancam, boleh jadi pergaduhan besar, bukan sahaja konflik antara kaum, tetapi intra, iaitu sesama Melayu atau Cina dan India bergaduh dalam kelompok masing-masing. Kalau pemimpin politik benar-benar ikhlas, peganglah kepada janji untuk mematuhi Perlembagaan. Perlembagaan adalah undang-undang asas menentukan apa itu negara Malaysia, tak boleh lari dari situ sebab ia dipersetujui semua kaum ketika negara mencapai kemerdekaan.
Sama juga macam Islam, kita ikut Piagam Madinah. Tentu ada sahaja pihak cuba mencabuli undang-undang ini, maka yang mengkhianatinya adalah satu kesalahan. Kita terlepas pandang banyak perkara dalam Perlembagaan kerana sikap mementingkan diri, bukan pentingkan rakyat dan negara. Bila berkuasa, kita sewenang-wenangnya memberikan apa yang tidak sepatutnya dilakukan. Disebabkan itu, perlu kembali kepada jalan betul.
Misalnya sebagai orang Islam, baliklah semula kepada ajaran al-Quran dan sunnah, inilah yang perlu dilakukan. Kami di MDN sangat prihatin kepada sebuah negara bangsa yang mempunyai ummah bersatu padu supaya dapat mewujudkan sebuah negara bangsa yang aman damai. Kita hormati undang-undang yang ada, berpegang teguh kepada al-Quran dan sunnah, percaya kepada pemimpin negara yang perlu dihormati dan pihak yang bertanggungjawab laksanakan undang-undang tertinggi negara sedia ada.