Selayang Pandang Pengurusi

Dato’ Dr. Mahmood Zuhdi Haji Abd Majid adalah Prof. Emeritus Universiti Malaya. Beliau dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1945. Persekolahan beliau bermula pada tahun 1950 di bawah bimbingan ayah beliau sendiri di Madrasah Majidiyah, Kg. Kayu Rendang, Melor, Kota Bharu Kelantan. Di peringkat menengah beliau belajar di Ma’had Muhammadi Kota Bharu, Kelantan. Pengajian Tingginya juga bermula di negeri itu, iaitu di Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan yang kemudiannya diserapkan sebagai Akademi Islam Universiti Malaya. Di peringkat diploma lepas Ijazah beliau memperolehi Diploma Mengajar Bahasa Arab dari Universiti ’Ain Syams, Kahirah. Kesarjanaannya diperolehi daripada Universiti al-Azhar, Mesir dalam bidang Syariah, dan dari University of Kent, England dalam bidang Pengajian Asia Tenggara. Sementara PhD beliau diperolehi dari Universiti Malaya dalam bidang Syariah.

Di bidang akademik, beliau pernah menjawat jawatan Dekan Fakulti Syariah Universiti Malaya selama lebih kurang lima tahun, bermula pada tahun 1985, dan selepas itu Pengarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya selama lapan tahun. Beliau menjadi Profesor di bidang Syariah di Universiti Malaya sejak tahun 1995 dan terus bertugas dalam jawatan tersebut, termasuk selama empat tahun secara kontrak sesudah bersara wajib sehingga Januari 2008.

Di bidang akademik, beliau pernah menjawat jawatan Dekan Fakulti Syariah Universiti Malaya selama lebih kurang lima tahun, bermula pada tahun 1985

Apabila beliau berpindah jawatan sebagai Profesor di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau terus memegang jawatan tersebut sehingga bulan Julai 2016. Dalam tempoh tersebut beliau pernah menjawat jawatan Timbalan Dekan dan kemudiannya Dekan di International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC), begitu juga Dekan Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (IRKHS).

Pada tahun 2011 beliau telah dianugerahi oleh Universiti Malaya kedudukan sebagai Professor Emeritus, iaitu suatu pangkat kekal sepanjang hayat.

Di bidang kewangan Islam, beliau sekarang seorang ahli Lembaga Pengarah Public Islamic Bank Berhad (PIBB) merangkap pengerusi Jawatankuasa Syariah, serta juga sebagai ahli jawatankuasa di bawah Lembaga Pengarah bank tersebut, termasuk jawatankuasa audit dan jawatankuasa pengurusan risiko. Beliau adalah juga Pengerusi Jawatankuasa Syariah AIA Public Takaful serta juga Pengerusi Jawatankuasa Syariah bagi Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) Securities.

Selain itu beliau adalah juga ahli jawatankuasa Syariah Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Nasional Berhad (ANB), dan al-Salihin Trustee. Beliau juga adalah Penasihat Syariah kepada I Synergy Holding Berhad dan Penasihat Syariah kepada Global Asset Marketing. Sebelum ini beliau pernah menjadi ahli kepada The Council of Scholars for International Shari’ah Research, Academy for Islamic Finance, Bank Negara Malaysia, (ISRA) selama enam tahun (2008 – 2014).

Portfolio Lain

  • Dalam bidang-bidang yang lain, beliau adalah Pengerusi Lembaga Pengarah (LPU) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Pengerusi Pertubuhan Pondok Perdana (PPP), Timbalan Pengerusi Lembaga Pendidikan Islam Malaysia (LEPAI), Ahli Lembaga Pengarah (LPU) Universiti Islam Malaysia (UIM), Ahli Majlis Universiti Islam Malaysia (UIM) Ahli Lembaga Pengarah Kolej Islam Melaya (LAKIM) dan Ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah bagi Pensijilan MS 1900: 2005 SIRIM.
  • Antara khidmat yang pernah beliau berikan sebelum ini ialah sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kelantan (1990 – 2012), Panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Kelantan (1990 – 2012), Ahli Lembaga Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) (2006 – 2012), Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPIM) (2004 – 2013), Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) (2010-2016) Pengerusi Majlis Dekan Pengajian Islam Malaysia (2012-2014), ), Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM)(2011- 2018) , Ahli Lembaga Penasihat Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) (2012 -2018), dan Ahli Majlis Perunding Islam Malaysia (MPI) (2014-2018)
  • Setakat ini beliau telah menghasilkan sebanyak 35 buah buku dan menyumbang artikel dalam 26 buah buku. Antara buku beliau yang penting ialah Sejarah Pembinaan Hukum Islam (1988); Pengantar Undang-Undang Islam Di Malaysia (1997) Tokoh-Tokoh Kesarjanaan Sains Islam (2000); Bidangkuasa Jenayah Mahkamah Syariah di Malaysia (2001); Pengurusan Zakat (2003) Pengantar Pengajian Syariah (2004) Memahami Islam Hadhari (2008),Transformasi Fiqh Semasa (2010), Peribadi Muslim (2011), Status Halal ASB dan ASN (2016) dan Musafir Kota Haramain (2018).
  • Selain itu beliau pernah menjadi editor kepada Jurnal Syariah, Universiti Malay, editorial adviser kepada beberapa jurnal seperti Journal of Islam and Civilizational Renewal (IIAS), The journal of Muamalat and Islamic Finance Research (USIM), Shariah & Law Journal, (USIM), al-Shajarah (ISTAC), Jurnal Hadhari (UKM) dan Jurnal Fiqh (UM) .